Pas pilih Umno dan Bersatu – Idris Ahmad

0
1
idrisahmad-abdulhadiawang

BIARPUN berdepan dengan pelbagai kritikan dalam soal kerjasama antara parti, Pas tetap dengan pendirian untuk bekerjasama dengan Bersatu dan Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Naib presidennya, Datuk Idris Ahmad menegaskan perkara itu di hadapan ribuan ahli dan penyokong yang berhimpun di Kompleks Pas Kedah sempena muktamar tahunan ke-68, malam tadi.

“Wartawan selalu tanya, (pilih) Umno atau Bersatu? Tak, kita pilih kedua-dua.

“Itu naratif kami, biar rakyat menilai, walaupun orang mencerca dan perli sekalipun, kita tetap menyatakan soal perpaduan ini penting. Kita tahu kalau berlaku perpecahan, keputusan yang kita sudah lihat pada PRU ke-14 yang lepas. Kita tak nak mengulanginya,” katanya memetik MalaysiaKini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran jentera Pas bagi PRU-15.

Turut hadir Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi merasmikan acara berkenaan.

Pada majlis itu juga Menteri Besar Kedah merangkap Pengarah Pilihan Raya Pas Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut mengetuai bacaan ikrar jentera Pas.

Sementara itu Idris berkata, Pas berpolitik dengan memikirkan masa depan generasi akan datang.

“Kita berpolitik memikirkan tentang masa depan kita, masa depan orang lain, masa depan cucu kita, bukan masa depan kita.

“Kalau kita duduk bercakap perebutan kuasa, jawatan dan kepentingan kita, apa akan jadi kepada generasi anak cucu kita?” tambahnya.

Sementara itu seorang lagi Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Abdullah pula menjelaskan betapa parti itu perlu fokus terhadap tiga perkara menjelang pilihan raya yang dijangka akan berlaku dalam tempoh terdekat.

Katanya, pertama Pas perlu memastikan untuk mengekalkan kuasa mentadbir di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Kedua perlu memastikan kedudukan kita dalam kerajaan persekutuan kekal, kita tahu dalam tempoh setahun dua ini kali pertama kita kembali menjadi sebahagian kerajaan pusat di zaman moden ini. Jadi kena pastikan keberadaan di pusat terus kekal.

“Ketiga, menguatkan kedudukan kita dengan menambah jumlah kerusi-kerusi parlimen yang ada. Kena kerja bersungguh sungguh supaya jumlah kerusi meningkatkan. Mesti menang tidak kurang 40 kerusi parlimen. Ini keutamaan kita, kena pastikan (berjaya),” serunya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here