Exco Umno hanya ‘ghenyeh’ terima jemputan – Pegawai Khas MB Kedah

0
1

PAS Kedah menegaskan sudah menjemput kepimpinan Umno ke Majlis Perasmian dan Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 yang diadakan di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, semalam.

Ketua Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Zulkifli Yahaya, berkata beliau sendiri menyerahkan jemputan berkenaan kepada Exco kerajaan negeri daripada Umno.

“Saya serah sendiri dengan tangan kad jemputan pada Datuk Suraya Yaakob (satu-satunya Exco Umno) di pejabatnya pada hari Selasa 30 Ogos 2022.

“Dato’ mai nuu (datang ya). Dato’ (Suraya) cuma ghenyeh (tersengih) apa pun tak jawab,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.

Terdahulu isu jemputan wakil Umno ke muktamar itu timbul selepas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom menafikan Umno dipelawa menghadiri muktamar itu.

Penafian itu dibuat selepas Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mendakwa partinya ada menjemput pimpinan utama Umno untuk hadir ke acara itu, namun tiada seorang wakil Umno yang hadir.

Jamil Khir dalam satu hantaran di Facebook malam tadi mendakwa, kenyataan Takiyuddin adalah tidak benar dan dikhuatiri akan mengelirukan pembaca di luar sana.

“Untuk makluman semua, pihak Umno Negeri Kedah ingin menegaskan bahawa tiada sebarang undangan mahupun jemputan yang diterima daripada pihak Setiausaha Agung PAS Pusat mahupun mana-mana wakil Pas sepertimana yang didakwa.

“Adalah penting bagi pihak Umno Negeri Kedah untuk menjelaskan bahawa situasi ini dengan sejelas-jelasnya supaya tiada persepsi buruk yang tidak diingini wujud kelak,” katanya yang menzahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan tidak benar itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here