Kenyataan Hadi bukan sahaja hina Zahid tetapi seluruh ahli Umno – Isham Jalil

0
2

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil membidas tindakan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kerjasama dalam Mufakat Nasional (MN) tidak mewakili ahli akar umbi Umno.

Isham berkata, Presiden PAS itu tidak sepatutnya menghina Ahmad Zahid sebegitu rupa kerana Ahli Parlimen Bagan Datuk itu adalah individu mempunyai mandat tertinggi untuk bersuara dan membuat keputusan parti.

“Ini basic (asas) dalam sistem demokrasi. Bila kamu (Abdul Hadi) hina dia (Zahid) , bermakna kamu juga hina majoriti ahli Umno yang undi dan pilih dia sebagai Presiden.

“Kamu (Abdul Hadi) pula menang tanpa bertanding, entah dapat mandat ataupun tidak, wallahualam. Orang yang lawan kamu, kamu cantas dan buang. Islam tidak ajar buat perkara begini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Isham berkata, dahulu Umno sememangnya mahukan kerjasama dengan MN namun hubungan itu tercalar selepas PAS bekerjasama dengan ‘pengkhianat’ parti itu termasuk memberi mereka kerusi.

“Bagaimana akar umbi Umno mahu percaya kamu (PAS) lagi? Kamulah yang mengkhianati MN.

“Kini Umno telah buat keputusan akan pergi (bergerak) solo dalam pilihan raya tanpa MN. Rata-rata akar umbi Umno telah bersetuju. Lihat sahaja dalam perhimpunan Umno baru-baru ini,” katanya.

Menurut Isham, Ahmad Zahid juga telah mendapat mandat akar umbi supaya pilihan raya tidak ditangguh dan Barisan Nasional (BN) akan bergerak solak serta menolak kerjasama dengan pengkhianat.

“Kamu pula ingin pikul pengkhianat dan masih mahu paksa Umno terima pengkhianat. Kami tidak akan ikut kemahuan serakah kamu.

“Kalau ikut logik tuan guru (Abdul Hadi) ini, kamu pun tidak boleh cakap mewakili PAS. Kalau Zahid tidak boleh cakap mewakili Umno, kamu mahu siapa yang boleh cakap mewakili Umno?

“Usah berdamping dengan pengkhianat, dan kembalilah ke jalan yang lurus,” katanya.

Terdahulu, Abdul Hadi tampil membalas dakwaan Ahmad Zahid bahawa parti itu hanya menawarkan kerjasama politik ‘dangkal’ dalam Muafakat Nasional (MN), dengan mendakwa kenyataannya tidak mewakili Umno.

“Umno ini bukan (ada) presiden saja. Umno ini adalah sebuah parti yang ada Majlis Kerja Tertinggi, naib presiden, bahagian-bahagian,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here