Agong kagum dengan sambutan Hari Kebangsaan 2022

0
1

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sukacita dan kagum dengan majlis sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang berlangsung di Dataran Merdeka, pada 31 Ogos lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sukacita dan setinggi penghargaan kepada rakyat yang datang memenuhi lokasi majlis dan kawasan sekitar.

“Rakyat secara berdisiplin menonton sambutan hari yang bersejarah itu, yang mana telah dilaporkan melebihi jangkaan 50,000 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda turut bertitah, semangat perpaduan, kenegaraan (patriotisme) dan cintakan negara yang dipamerkan oleh rakyat di majlis tersebut dan juga di majlis-majlis yang telah dianjurkan di seluruh negara adalah sangat membanggakan.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga semangat-semangat tersebut, yang secara langsung mencerminkan keakraban rakyat pelbagai kaum di negara, memperkukuhkan lagi keharmonian negara.

“Baginda turut menzahirkan harapan agar ianya juga dipamer dan diteruskan dalam memperingati dan meraikan Hari Malaysia pada 16 September 2022 kelak,” katanya.

Beliau berkata, Agong juga menzahirkan ucapan tahniah dan setinggi penghargaan kepada kerajaan Malaysia, peserta dan penganjur.

“… Khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Tan Sri Annuar Musa, atas kejayaan sambutan Hari Kebangsaan 2022 yang disempurnakan dengan rapi dan cemerlang.

“Seri Paduka Baginda juga amat kagum menyaksikan persembahan yang telah ditunjukkan oleh semua kontinjen agensi-agensi kerajaan dan murid-murid sekolah yang telah mengambil bahagian di majlis tersebut.

“Semangat kenegaraan dan cintakan negara yang telah dipamerkan oleh mereka, khususnya murid-murid sekolah yang terdiri daripada pelbagai peringkat persekolahan dan kaum, adalah sewajarnya dipuji dan dicontohi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here