MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad memaklumkan sudah memberi keterangan kepada polis berhubung isu projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS), pagi tadi.
Menerusi kenyataan hari ini, Dr Abd Latiff berkata keterangan itu susulan daripada laporan polis yang dibuat pegawainya terhadap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, kelmarin.
“Susulan laporan polis yang dibuat terhadap saudara Rafizi Ramli oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas saya pada 30 Ogos 2022, saya telah didatangi oleh Pegawai Polis pagi tadi untuk diambil keterangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Abd Latiff menegaskan bahawa Rafizi adalah seorang pembohong yang memfitnah beliau dan keluarganya semata-mata untuk kepentingan politik.
“Sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa sebagai anggota Kabinet, saya akan terus memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan,” katanya.
Kelmarin, Dr Abdul Latiff membuat laporan polis terhadap Rafizi yang didakwa memfitnahnya dalam isu berkaitan projek LCS.
Laporan polis itu dibuat pegawai khasnya, Sayed Ahmad Muizzuddin Al Sayed Mohamad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Laporan itu dibuat kerana fitnah dan tohmahan Rafizi bertujuan merosakkan nama baik Abdul Latiff. – Malaysiapost

