Zaharah dilantik Pengerusi Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan, MKI

0
1

BEKAS Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Lantikan itu susulan Mesyuarat Majlis Raja Raja Kali Ke-259 pada 30 Jun 2022 yang telah berkenan menaik taraf Jawatankuasa Teknikal Undang Syarak dan Sivil, MKI kepada Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan, MKI.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff yang juga Setiausaha MKI, berkata Zaharah diperkenan untuk mempengerusikan jawatankuasa itu berkuatkuasa mulai 30 Jun 2022 sehingga 29 Jun 2024.

” Watikah pelantikan beliau telah disempurnakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi MKI pada Rabu, 17 Ogos 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hakimah turut mengalu-alukan pelantikan Zaharah yang sangat berpengalaman dalam bidang kehakiman sebelum ini dan yakin beliau akan dapat memimpin Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan untuk mencapai matlamat penubuhannya.

Menurutnya, Jawatankuasa Teknikal Undang Syarak dan Sivil sebelum ini ditubuhkan MKI sejak 6 Mei 1988 antara lain bertujuan untuk membincangkan penyeragaman undang-undang syariah dan pengharmonian antara undang-undang sivil dan syariah di Malaysia.

“Berdasarkan pengalaman luas dan kredibiliti Zaharah dalam bidang kehakiman sebelum ini, JAKIM menaruh keyakinan beliau akan dapat memimpin Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan untuk mencapai matlamat penubuhannya.

“JAKIM juga mengambil kesempatan mengucapkan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman, bekas Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, MKI sejak 7 Jun 1999,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here