Agihan lebih RM500,000 BBKM hampir selesai – Azmin

0
2

AGIHAN Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) sebanyak RM565,621 kepada ketua isi rumah (KIR) di Selangor hampir selesai setakat minggu lepas.

MENTERI Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata selain pengagihan BBKM itu usahawan di Selangor juga menerima bantuan geran.

Menurutnya, program BBKM memberi bantuan menyeluruh termasuk bantuan automotif, Bantuan Wang Ihsan (BWI), Bantuan Barangan Keperluan Asas (BBKA) dan Bantuan Pembaikan Rumah (BPR).

“Saya juga berkongsi mengenai platform yang disediakan untuk Kerajaan Negeri mengemukakan permohonan yang diberikan keutamaan dalam menjana pembangunan dan kemajuan mampan serta merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar sejajar dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.

Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor menghadiri mesyuarat MTPNg bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta ahli mesyuarat.

Program BBKM yang diumumkan Kerajaan Persekutuan itu dirangka untuk membantu rakyat di Selangor yang amat terjejas ekoran bencana banjir besar pada Disember 2021.

Mohamed Azmin berkata, dalam mesyuarat itu juga, beliau telah menyerahkan Watikah Pelantikan Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah oleh Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor kepada sembilan orang pegawai.

“Saya percaya amanah ini akan digalas dengan cemerlang dalam memacu agenda pembangunan daerah supaya pelaksanaan projek pembangunan dan pembasmian kemiskinan dapat dijalankan dengan baik dan holistik.

“Semoga Pejabat Pembangunan Negeri Selangor, Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan terus bersama menggembleng tenaga melaksanakan tugas yang diamanahkan bagi mencapai agenda dan matlamat MTPNg,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here