Apa pun alasan, niat sebenar PN untuk kuasa, kedudukan – Shamsul Anuar

0
2
Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah

BERILAH apa sekalipun alasan, hakikatnya niat sebenar rundingan cuba dilakukan Perikatan Nasional (PN) semata mata kerana kuasa dan kedudukan.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata rakyat bijak dan mampu menilai apa yang dinyatakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“PN mahu membentuk semula gabungan bersama Pakatan Harapan (PH). Kalau ini berlaku maka sekali lagi negara akan dipimpin oleh sebuah kerajaan yang gagal dan merosakkan negara ini.

“Kerana itu apakah kita lupa 22 bulan di bawah PH? DAP, PKR, Amanah dan Bersatu lah antara parti yang menyebabkan kecelaruan kepada negara ini.

“Apakah kita rakyat terus mahu Malaysia dirosakkan oleh mereka?,” soalnya menerusi hantaran di Facebooknya.

Sehubungan itu, Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong, mengingatkan rakyat agar tidak memberi peluang kedua kepada PH, PN, Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad serta Parti Warisan.

“Kita mesti bentuk kerajaan yang stabil demi Malaysia,” katanya.

Semalam Muhyiddin dilaporkan berkata idea kerjasama PN dengan pembangkang disuarakan kerana mahu menyelamatkan negara agar tidak terus terjerumus ke dalam kancah kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa.

Muhyiddin menegaskan, beliau menyuarakan cadangan itu kerana berpendapat kepentingan negara lebih penting berbanding parti.

Tambah beliau, rakyat kini mahu melihat semua parti politik menawarkan sesuatu yang boleh menyelamatkan negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here