UMNO harus memberi kepercayaan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan kepimpinan “Top 5” dalam menentukan halatuju dan tarikh pembubaran Perlimen.
Umno Pengkalan Chepa menerusi kenyataan berkata tindakan menyerang sesama sendiri akan memberi kesan tidak baik kepada parti dan bercanggah dengan kematangan MKT yang dikhabarkan bermesyuarat dalam semangat harmoni sejurus taklimat Presiden, Sabtu lalu.
“Apa yang berlaku dalam himpunan Amanat Presiden sedikit mencalar imej parti dan ia tidak sepatutnya berlaku.
“Tambahan pula segelintir suara kecil yang lantang dalam dewan tidak mewakili keseluruhan hadirin melaungkan “boo” Perdana Menteri setiap kali nama beliau disebut.
“Ia jauh sekali dari budaya Umno yang sentiasa menghormati kepimpinan tertinggi parti. Umno Pengkalan Chepa menzahirkan rasa simpati atas peristiwa tersebut,” katanya.
Tambah Umno Pengkalan Chepa, pihaknya tegas dalam mendokong barisan kepimpinan parti diketuai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan menyanjungi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang mewakili Umno dan “Poster Boy” Barisan Nasional (BN) untuk PRU15.
Ia katanya, sepertimana keputusan rasmi Perhimpunan Agung Umno Khas lalu dan diputuskan oleh MKT.
Sementara itu Umno Pengkalan Chepa melahirkan rasa simpati kepada seluruh keluarga Datuk Seri Najib Razak yang dipenjarakan berkaitan kes SRC International.
“Sudah pasti kita tidak mampu menyangkal jasa dan kebaikan yang pernah beliau lakukan untuk rakyat dan Malaysia sebelum ini,” katanya. – Malaysiapost

