SAYA nak percepatkan kes saya sebab saya berani kerana benar, kata Syed Saddiq Abdul Rahman.
Ahli Parlimen Muar itu berkata demikian menjawab kenyataan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mempersoalkan kenapa Peguam Negara tidak mempercepat kes mahkamah dihadapinya.
Menurut Syed saddiq, pendiriannya dari hari pertama diheret ke mahkamah adalah untuk mempercepatkan perjalanan kes dihadapinya.
“Terpanggil saya dengan posting Ketua Pemuda Umno katakan kenapa AG tak percepatkan kes saya.
“Tak apa saya jawab. Tak perlu AG percepatkan kes saya. Saya sendiri minta dipercepatkan. Patutnya tahun depan, tapi dah pun nak habis kes pendakwa raya.
“Pada 6 dan 7 Oktober ini tarikh untuk hujahan… saya nak percepatkan kes saya sebab saya berani kerana benar,” katanya menerusi Facebook.
Syed Saddiq berkata, itu adalah pendirian beliau dari hari pertama dirinya diheret di mahkamah.
“Tak pernah saya minta kes ditangguhkan tapi sebaliknya perbicaraan tertangguh kerana saksi pendakwaan tiada pada masa tersebut.
” Tak pernah saya serang institusi kehakiman sepanjang kes saya. Saya tetap hormat dan beri kepercayaan penuh kepada Yang Arif dan juga institusi kehakiman sebab saya tahu kebenaran akan ditegakkan kelak.
” Tak pernah saya terima sogokan atau jawatan semasa Langkah Sheraton. Nak heret saya ke Mahkamah, heretlah. Semasa di KBS, saya telus dengan kerja saya . Kontrak di buat secara open tender. Sebab itu dulu ada seorang ahli Umno belek-belek dokumen tak jumpa apa-apa pun sampai hari ini.
“Tak pernah juga saya berbelanja besar dan bermewah macam ahli politik elit Umno yang lain. Aset saya semua saya isytiharkan. Sayalah menteri pertama yang isytiharkan aset saya termasuk Meow-Meow,” katanya.
Beliau berkata, walaupun hilang jawatan menteri dan dipecat parti, termasuk ditekan kerana tidak memberi sokongan, susulan itu kini dirinya di mahkamah namun prinsipnya tetap sama dari awal pembabitan dalam arena politik iaitu bersihkan politik lapuk.
“Saya takkan takut dengan apa-apa ugutan sekali pun. Lagi ditekan, lagi saya #LAWAN . Lawan sampai menang. Hormat kawan dan lawan.Tolong hormat institusi kehakiman,” katanya. – Malaysiapost

