Surat kontroversi, Ketua Hakim perlu ambil tindakan – Zaid

0
1

KETUA Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat perlu menggesa Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun menunjukkan sebab beliau tidak patut berdepan prosiding menghina mahkamah berhubung surat yang dikeluarkan pejabatnya kepada Mahkamah Tinggi, kata Datuk Zaid Ibrahim.

Beliau berkata, langkah itu perlu diambil sekalipun timbalan pendakwa raya telah menarik balik surat itu di mahkamah pagi ini.

Beliau berkata, Tengku Maimun juga perlu meminta penjelasan daripada timbalan pendakwa raya yang menulis surat itu.

Zaid merujuk kepada surat bertarikh 29 Ogos ditulis Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob kepada Setiausaha Hakim Collin Lawrence Sequerah yang menjadi tular semalam.

“Surat sebegitu yang mahu menentukan kes mana yang patut didengar dahulu oleh mana-mana mahkamah tidak pernah dilihat sebelum ini dan semestinya bersifat menghina (mahkamah).

“Penarikan balik (surat itu) pagi ini bukan kerana penulisnya merasakan perkara itu salah dan (beliau) merasa bersalah.

“(Surat itu) ditarik balik hanya kerana ia menjadi isu dalam tempoh semalaman setelah salinannya tular di media sosial,” katanya memetik Free Malaysia Today.

Zaid berkata, sifat khusus permintaan itu membimbangkan dan jelas menunjukkan campur tangan politik dalam badan kehakiman.

Menurut surat itu: “Saya diarah meminta (hakim) memberi keutamaan kepada kes tersebut (Pendakwa Raya lwn Ahmad Zahid Hamidi) berbanding perbicaraan kes 1MDB (membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak) yang juga dibicarakan di hadapan Yang Arif Dato”.

“Permintaan ini dibuat untuk membolehkan kes pembelaan diselesaikan secepat mungkin.”

Menurut Zaid, surat itu menyatakan bahawa timbalan pendakwa raya menulisnya ‘atas arahan, yang bermakna beliau diarahkan oleh peguam negara untuk berbuat demikian’.

Beliau berkata, ianya sangat salah dan tidak boleh diterima bagi peguam negara untuk menentukan aturan perbicaraan kes bagi mana-mana mahkamah.

“Permintaan itu berbau campur tangan politik. Pihak pendakwaan jelas kelihatan mahu mempercepat kes presiden Umno itu berbanding perbicaraan 1MDB bekas perdana menteri Najib Razak yang juga sedang berlangsung.

“Inferens yang tidak dapat dielakkan, yang telah dibuat oleh pelbagai pihak sama ada di dalam dan di luar Umno, adalah bahawa ini dilakukan demi manfaat politik,” katanya.

Beliau berkata, peguam negara perlu segera menjelaskan penglibatannya dalam permintaan itu dan sebab di sebaliknya.

Zaid juga meminta Presiden Badan Peguam Malaysia Karen Cheah menyatakan pendirian Majlis Peguam mengenai perkara itu.

“Presiden Badan Peguam dengan pantas menyerang saya dan rakan sekerja saya atas apa yang didakwanya sebagai penyalahgunaan proses di pihak kami dalam rayuan SRC International Najib di Mahkamah Persekutuan.

“Inilah masanya untuk beliau membuktikan nilai sebenar dirinya,” katanya.

Beliau turut menggesa agar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman secara keras dan tanpa ragu-ragu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here