TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli menegaskan keputusan menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) sendiri bukan daripada pendapat peribadi beliau.
Rafizi berkata, penjelasan itu dibuat kerana Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meremehkan kenyataannya dengan menyatakan keputusan itu adalah pendapat peribadi beliau bukan keputusan PH.
“Yang jadi Timbalan Presiden PKR dan duduk dalam Majlis Presiden PH adalah saya. Yang tahu apa keputusan PH dia. Ada beberapa perangai pimpinan-pimpinan dalam PN yang masih belum dicuci sepenuhnya walaupun mereka mahu memimpin negara.
“Pertama, memandang rendah mereka yang lebih muda. Walaupun saya sudah berusia 45 tahun, telah berada dalam barisan kepimpinan PKR sejak berusia awal 20an, di mata Muhyiddin saya hanya budak hingusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Rafizi, rasional utama keputusan tidak bekerjasama dengan PN dibuat kerana gabungan itu mahu bekerjasama dengan PH semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan dan jawatan yang diperolehi hasil mengkhianati mandat rakyat pada PRU14.
Beliau berkata, Muhyiddin memberi alasan negara perlu diselamatkan dari Umno dan BN sebagai alasan untuk bekerjasama dengan PH.
“Kata Muhyiddin, kalau tidak kita berdepan dengan rasuah, penyelewengan kuasa dan lain-lain.
“Sedang Muhyiddin takut dengan rasuah dan penyelewengan kuasa Umno, Muhyiddin juga yang menerima ahli-ahli Parlimen Umno yang terpalit dengan rasuah masuk ke Bersatu demi untuk beliau menjadi Perdana Menteri.
“Muhyiddin takut dengan kerosakan yang akan dibawa Umno, tetapi Muhyiddin dan PN juga yang membentuk kerajaan bersama-sama dengan Umno. Perdana Menteri dan menteri-menteri kanan sekarang bukan dari PH, mereka dari Umno,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin menyarankan agar pembangkang mempertimbangkan untuk membuka semula pintu rundingan dengan PN demi masa depan negara serta rakyat, dan bukannya untuk kepentingan parti. – Malaysiapost

