NEGERI-negeri diterajui PAS tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing lebih awal dari bulan Mac tahun depan.
Setiausaha Agung PAS, Seri Takiyuddin Hassan, berkata keputusan tersebut dibuat atas dasar penumpuan yang lebih perlu diberikan kepada aspek pemulihan dalam kehidupan rakyat terutama dalam ekonomi dan kesihatan.
Katanya, perkara itu akan diberi perhatian dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-68 yang akan diadakan di Alor Setar, Kedah pada 3 dan 4 September ini.
“Kerajaan negeri-negeri yang diterajui oleh PAS tidak akan membubarkan DUN masing-masing lebih awal dari bulan Mac 2023.
“Atas dasar buat masa ini penumpuan yang lebih perlu diberikan kepada aspek pemulihan dalam kehidupan rakyat terutama di bidang perekonomian selain dari kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan PAS itu susulan gesaan Umno supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob segera mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Selain itu, Konvensyen Perikatan Nasional (PN) Sabtu lalu turut menyatakan kesediaan untuk menghadapi PRU15 jika diadakan dalam kadar segera.
Sementara itu, Takiyuddin berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa harian yang berlangsung semalam.
Tambah beliau, PAS mengambil pendekatan bersikap terbuka dalam mencari formula terbaik bagi mewujudkan kerjasama politik dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi PRU15
“Demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini,” katanya. – Malaysiapost

