PAS menegaskan tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) mahupun mana-mana parti komponennya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), termasuk cadangan konsep ‘khemah besar’.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata PAS tetap mengutamakan konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional dalam setiap langkah dan pendirian politik.
“PAS amat optimis pendekatan penyatuan ummah tersebut boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan bumiputra kerana ia adalah formula paling berkesan serta diterima oleh majoriti rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan meminta pemimpin pembangkang berjiwa besar dengan memaafkan dan melupakan perkara lalu bagi merealisasikan ‘Khemah Besar’ sebagai persediaan menghadapi PRU15.
Salahuddin yang juga Naib Presiden PH menyarankan PH membuka pintu rundingan dan perbincangan, termasuk kepada Bersatu dan PAS bagi memastikan pembangkang ampuh dalam menghadapi Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, inisiatif politik itu bertujuan mengukuhkan gabungan terbabit dalam menghadapi PRU15. – Malaysiapost

