Perbicaraan kes Zahid ikut jadual ditetapkan – Hakim

0
2

Nahar Tajri

HAKIM Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Collins Lawrence Sequerah hari ini menegaskan perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengikut jadual ditetapkan dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana arahan pihak lain.

Ia merangkumi arahan yang tidak sepatutnya seperti cara kes dikendalikan, tarikh perbicaraan dan keutamaan kes untuk perbicaraan segera.

Mengakui terganggu dengan surat arahan yang tular berhubung isu itu, Sequerah menegaskan bahawa mahkamah itu adalah di bawah bidang kuasanya dan beliau tidak perlu menerima arahan pihak lain.

“Ini adalah makamah saya…..tiada siapa (pihak lain) beri arahan. Kita akan ikut tarikh yang telah ditetapkan,” katanya sebelum perbicaraan dimulakan pagi ini.

Beliau dipercayai mengulas mengenai surat yang meminta hakim mempercepatkan perbicaraan Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno dalam kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.

Terdahulu, pihak pendakwaan hari ini memaklumkan telah menarik balik surat yang dihantar kepada Hakim Mahkamah Tinggi berhubung perkara tersebut.

Surat berkenaan meminta supaya kes dihadapi Ahmad Zahid diberi keutamaan berbanding kes penyelewengan dana 1MDB Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memaklumkan kepada mahkamah bahawa perkara itu dianggap selesai dengan mengambil kira penarikan balik surat berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here