Nahar Tajri
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid menegaskan tindakannya melantik firma guaman, Tetuan Lewis & Co sebagai pemegang amanah adalah berikutan kelalaian bekas Setiausaha Eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly dalam beberapa perkara membabitkan urus tadbir kewangan Yayasan Akal Budi (YAB).
Katanya, beberapa tindakan termasuk menggunakan dana YAB untuk membayar invois yang langsung tidak berkenaan dengan yayasan itu telah menyebabkan beliau hilang kepercayaan terhadap Mazlina.
“Perkara ini diberitahu beberapa kali di dalam Mahkamah, antaranya bayaran invois yang tidak berkaitan dengan YAB menggunakan dana yayasan untuk dibuat bayaran.
“Sedangkan dalam masa sama akaun peribadi saya yang diuruskan oleh beliau mempunyai tunai yang cukup. Itu sebab saya melantik tetuan Lewis and Co dan beri kepercayaan,”katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid memberitahu, bahawa sebagai seorang Islam beliau tidak akan menerima sebarang derma satu sumbangan jika mengetahui ia adalah dari sumber aktiviti yang haram.
Mengulas lanjut mengenai sumbangan diterima daripada seorang penderma dari Sarawak menerusi seorang ahli perniagaan, Wong Sang Woo @ Wong Shuh Chain, Ahmad Zahid menegaskan sumbangan berjumlah RM10 juta yang diterima menerusi 10 cek itu adalah sah.
“Penderma datang dari Sarawak dan Wong adalah rakan kongsi kepada penderma itu dan beliau (penderma) tidak berada di Malaysia. Oleh kerana penderma tidak berada di negara ini, jadi beliau menyerahkan sumbangan melalui Wong.
“Maka, saya mempunyai pendirian bahawa wang itu bukan wang yang datang daripada aktiviti haram atau mana-mana sumber haram,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Peguam, Hamidi Mohd Noh pada pemeriksaan balas semalam. – Malaysiapost

