JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket pelacuran dengan menahan 25 warga asing dan dua lelaki tempatan dalam dua serbuan di Puchong, Selangor, Jumaat lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata serbuan itu dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi menerusi Ops Gegas pada jam 5 petang.
Khairul Dzaimee berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan 21 orang terdiri pegawai Imigresen telah menyerbu dua premis iaitu sebuah hotel dan sebuah unit kondominium di kawasan terbabit yang disyaki menjalankan kegiatan pelacuran wanita warga asing.
“Dalam operasi itu, seramai 27 orang telah ditahan, 25 daripadanya adalah wanita warga asing berumur antara 18 hingga 47 tahun.
“Mereka terdiri daripada 20 wanita Indonesia, tiga wanita Thailand dan dua wanita Vietnam. Turut ditahan ialah dua lelaki tempatan yang disyaki penjaga premis hotel tersebut,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, siasatan awal mendapati sindiket menggunakan wanita warganegara Indonesia yang berpenampilan seolah wanita tempatan sebagai daya penarik utama untuk memancing pelanggan.
Tambahnya, dalam serbuan ke atas unit kondominium, pasukan serbuan telah menahan seorang wanita warga asing yang disyaki sebagai ketua atau ‘Mummy’ berumur 28 tahun yang menguruskan dan menjaga wanita warga asing di kondominium tersebut.
“Dalam operasi ini juga, sejumlah RM9,325 wang tunai yang dipercayai hasil kegiatan pelacuran dirampas. Selain itu, beberapa kondom, pelincir dan buku rekod kehadiran bekerja serta senarai pelanggan turut dirampas.
“Modus operandi sindiket adalah pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat seks akan berurusan melalui aplikasi WhatsApp dan pelanggan tersebut akan diberikan kata laluan untuk masuk ke hotel, tanpa kata laluan pelanggan tidak dibenarkan masuk oleh penjaga premis,” katanya.
Beliau berkata, bayaran yang dikenakan sebanyak RM240 bagi sekali langgan khidmat seks.
“Pelacur yang sihat dan boleh bekerja akan ditempatkan di hotel dan akan bekerja bermula jam 11 pagi hingga jam 4 pagi keesokan harinya.
“Manakala pelacur yang tidak sihat dan tidak boleh bekerja akan ditempatkan di kondominium dan dijaga oleh Mummy.
“Mereka tidak dibenarkan keluar meninggalkan rumah dan tempat kerja. Pergerakan mereka akan sentiasa diawasi oleh penjaga dan Mummy.
“Kondominium tersebut juga dijadikan tempat transit wanita yang baru tiba dari Indonesia atau Thailand sebelum dihantar ke hotel untuk bekerja sebagai pelacur. Sindiket dipercayai telah beroperasi hampir dua tahun,” katanya.
Beliau berkata, semakan JIM mendapati wanita-wanita asing ini masuk ke Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) yang sah dan menepati syarat-syarat sebagai pelancong.
Bagaimanapun, katanya mereka telah menyalahgunakan kemudahan PLS ini untuk melakukan kerja-kerja pelacuran dan tidak bermoral.
“JIM mengambil tindakan serta merta mengetatkan kawalan di pintu masuk negara dengan membuat semakan yang lebih teliti dan tegas ke atas dokumen perjalanan serta sejarah perjalanan pelancong yang tiba dari negara–negara yang telah dikenalpasti banyak terlibat dalam penyalahgunaan PLS sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – Malaysiapost

