KERAJAAN Pulau Pinang perlu mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) pada penghujung September untuk selaraskan Perlembagaan negeri dengan Perlembagaan Persekutuan mengenai undang-undang anti-lompat parti.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata ia juga membolehkan peruntukan anti-lompat parti bagi Pulau Pinang berkuat kuasa tepat pada masanya untuk meliputi semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dipilih pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Tambahnya, PRU15 dijangka diadakan pada November berikutan keputusan Perdana Menteri untuk membentangkan Belanjawan 2023 lebih awal pada 7 Oktober.
Ini kerana dakwanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima tekanan Umno untuk mengadakan pilihan raya awal pada tahun ini dan bukannya tahun depan.
“Jelas Perdana Menteri bercadang untuk membubarkan Parlimen selepas Belanjawan Pilihan Raya dibentangkan pada 7 Oktober untuk membantunya memenangi pilihan raya.
“Bagi memastikan mandat pengundi dihormati dan tidak diseleweng atau dikhianati oleh ahli politik yang tidak berhati perut, tidak berprinsip dan oportunis dengan melompat parti untuk mendapatkan jawatan dan dana kewangan.
“…adalah mustahak bahawa DUN Pulau Pinang bersidang sebelum pilihan raya umum akan datang yang dijangka pada November,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Guan Eng berkata, kegagalan untuk mengadakan sidang khas awal DUN tidak boleh diterima pengundi Pulau Pinang.
“Ia mungkin dieksploitasi secara politik oleh BN atau PN untuk mempersoalkan komitmen kita terhadap undang-undang anti-lompat parti,” katanya lagi. – Malaysiapost

