PM harap perkembangan positif dalam rundingan Iran, AS

0
2

MALAYSIA tidak mengiktiraf sekatan berbentuk sehala terhadap mana-mana negara dan hanya tertakluk kepada yang dilaksanakan melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagaimanapun berkata berikutan pendedahan risiko susulan mempunyai transaksi dengan pihak di Amerika Syarikat (AS), ia telah menimbulkan permasalahan dalam urusan transaksi perniagaan.

Katanya, Joint Comprehensive Plan of Action (JCPOA) adalah sesuatu yang penting buat masa ini.

Ujar beliau, selain boleh menyelesaikan permasalahan dalam urusan transaksi perniagaan, JCPO juga menyelesaikan isu pembukaan akaun bagi warga Iran kepada sesetengah entiti Malaysia.

“Saya berharap akan ada perkembangan positif segera melibatkan rundingan Joint Comprehensive Plan of Action (JCPOA).

“Ia secara tidak langsung akan membantu memudah cara urusan perniagaan dengan Iran selain menyelesaikan isu-isu lain termasuk isu perbankan dihadapi rakyat Iran,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian dalam perbualan telefon dengan Presiden Iran, Seyyed Ibrahim Raisi mengenai hubungan dua hala antara Malaysia dengan negara republik Islam itu.

Menurut beliau, Malaysia amat berpuas hati dengan keakraban hubungan antara kedua-dua negara yang telah terjalin sejak 1968.

“Kedua-dua negara sering bersependapat dalam pelbagai isu melibatkan kepentingan umat Islam.

“Saya mengharapkan agar hubungan baik ini akan terus diperkukuh pada masa akan datang,“ katanya.

Tambahnya, Iran adalah antara rakan dagangan penting Malaysia di rantau Asia Barat dengan jumlah dagangan dua hala pada 2021 bernilai RM2.63 bilion (USD0.64 bilion), peningkatan sebanyak 68.2 peratus dibandingkan pada 2020.

“Menyedari rintangan yang sedang dihadapi akibat kekangan daripada sekatan sehala ke atas Iran, Malaysia bersedia membincangkan kaedah dan pendekatan lain bagi memudahcara urusan antara kedua-dua pihak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here