
PEGUAM Negara (AG) perlu menjelaskan mengapa Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob menghantar surat kepada Datuk Collin Lawrence Sequerah meminta Hakim Mahkamah Tinggi itu mengutamakan kes melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata ramai bertanya mengapa surat itu terpakai kepada Ahmad Zahid sahaja.
“Bagaimana dengan kes terowong?,” soalnya dalam hantaran di Facebook.
Kenyataan itu mengulas mengenai tular surat daripada Abdul Malik yang meminta mahkamah memberi keutamaan kepada kes Ahmad Zahid berbanding kes 1Malaysia Development berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak.
Sebelum ini, tular satu surat yang didakwa dihantar pihak pembelaan kepada hakim bagi mempercepatkan perbicaraan dihadapi Ahmad Zahid.
Dalam satu surat yang dihantar Abdul Malik kepada Setiausaha Sequerah, pihak pendakwaan meminta kes Ahmad Zahid diutamakan melebihi kes dana 1MDB.
Terdahulu, pendakwaan menarik balik surat berkenaan.
Pada prosiding perbicaraan kes itu hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memaklumkan kepada mahkamah bahawa perkara itu kini sudah selesai dengan mengambilkira penarikan balik surat berkenaan.
Katanya, perbicaraan yang membabitkan Ahmad Zahid akan diteruskan mengikut tarikh yang telah ditetapkan. – Malaysiapost
