PERDANA Menteri mengingatkan generasi muda negara agar sentiasa berpegang kepada pesanan tokoh pejuang negara, Mat Kilau.
Ingatan itu diberikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan 2022 malam ini.
“Mat Kilau pernah berpesan; perjuangan mesti diteruskan oleh generasi muda, jangan biar tanah air tergadai, jangan sesekali mudah dipicit sehingga terbelah dua.
“Kalau beragama, jangan sekadar pakaiannya (Syariat), biar tentu bersih juga tubuhnya (hakikat).
“Kalau belajar, jangan sekadar ilmunya, biar tentu kukuh juga adabnya. Kalau beramal, jangan sekadar ayatnya, biar tentu juga berbulat dengan rahsia-Nya.
“Itulah antara amanat Pahlawan Mat Kilau yang boleh dijadikan sebagai azimat,” kata Perdana Menteri.
Ismail Sabri berkata rahmat dan nikmat kemerdekaan yang dikecapi negara hari ini adalah hasil perjuangan titisan darah, keringat dan air mata.
Menurutnya, tidak terhitung banyaknya nyawa yang terkorban dan tidak terkira nilai kerugian harta benda dalam mencapai sebuah erti kemerdekaan.
“Ketika perjuangan menentang penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun, ramai pejuang yang aulia rebah demi mempertahankan pertiwi.
“Nama-nama seperti Mat Kilau, Datuk Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Tok Gajah, Rentap, Datuk Maharajalela, Dato’ Sagor, Haji Abdul Rahman Limbong, Datu Mat Salleh, Rosli Dhobi adalah antara tokoh yang telah berkorban demi tanah air tercinta,” katanya. – Malaysiapost

