UMNO menuntut saman berjumlah masing-masing RM25 juta kepada Malaysiakini dan Astro Awani.
Ia susulan laporan kedua-dua media itu yang didakwa menyiarkan artikel mendatangkan fitnah serta berniat jahat untuk mencipta persepsi negatif terhadap Umni.
Perkembangan terbaharu itu disahkan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebooknya.
“Ramai yang bertanyakan status saman terhadap Malaysiakini dan Astro Awani yang mengeluarkan berita fitnah terhadap Umno.
“Untuk pengetahuan, peguam yang mewakili Umno sudahpun menghantar surat tuntutan saman pemula sebanyak RM25 juta kepada pihak Malaysiakini dan RM25 juta lagi terhadap Astro Awani,” katanya.
Tambah Asyraf Wajdi, jika ada mana-mana lagi pihak termasuk individu yang memfitnah Umno dengan apa juga bentuk laporan, komentar atau berita palsu, beliau dan Pemuda Umno tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan serupa.
“Sudah tiba masanya untuk bertindak lebih agresif melalui saluran undang-undang dibuat kerana Umno sudah lama bersikap ‘gentleman’.
“Membiarkan sahaja fitnah berlegar sehingga mencetuskan persepsi negatif yang memudaratkan parti dan seluruh warga pendokongnya,” katanya lagi.
Beberapa hari lalu Asyraf Wajdi berkata Umno akan memulakan tindakan saman ke atas portal Malaysiakini dan Astro Awani.
Asyraf Wajdi Dusuki, berkata penerbitan artikel Malaysiakini bertajuk ‘Kata dua Umno buat PM: Bubar Parlimen atau dipecat’ manakala Astro Awani ‘Majoriti Ketua Bahagian Umno tolak usul desak PM campur tangan kes SRC – Sumber’ itu dianggap tidak bertanggungjawab dan beretika.
Katanya, perkara ini telah dibincangkan bersama Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi termasuk peguam untuk mengfailkan saman terhadap kedua-dua media tersebut. – Malaysiapost

