Najib mangsa pendakwaan politik, kata Umno

0
1

UMNO hari ini bersolidariti di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) sebagai sokongan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dihukum penjara kerana “pendakwaan politik”.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata Umno sedih dengan hukuman yang dikenakan ke atas Najib dan parti itu akan berjuang membela Najib.

“Kita tidak memilih jalan raya untuk menzahirkan perasaaan kita.  Kita tidak berhimpunan di pusat membeli belah yang menggangu ketenteraman awam. 

“Kita tidak berarak dengan melaungkan slogan menanam kebencian. Kita tidak membakar lilin di hadapan penjara. Kita tidak merosakkan harta benda awam bagi melempiaskan kemarahan kita. 

“Kita boleh sahaja melalui rangkaian akar umbi menggerakkan kebangkitan, namun Umno dan BN tidak mempunyai DNA mewujudkan kekacauan apatah lagi merosakkan ketenteraman awam di negara ini. Kita bukan perusuh,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada taklimat khas Presiden, hari ini.

Minggu lalu Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Najib yang menyaksikan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta terhadap bekas Presiden Umno itu berhubung penyelewengan dana SRC International dikekalkan.

Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimum Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan Najib.

Keputusan itu menyaksikan Najib memulakan hukuman penjara selama 12 tahun bermula Selasa lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan pendakwaan terhadap Najib adalah usaha untuk memberikan persepsi negatif terhadap kepimpinan dan parti itu.

“Penggeledahan rumah, rampasan barang dijadikan drama untuk tontotan umum. Belum pun dihadap ke mahkamah gelaran perompak, penyamun, perasuah; menayangkan hasil ‘rampasan’ yang dijadikan drama, hanya semata-mata mahu memberikan persepsi negatif kepada Najib, seolah-olah beliau telah bersalah. 

“Saya mengimbas perkara-perkara ini bagi memastikan kita memahami itulah politik dendam dan ugutan yang dibawa oleh mereka atas undi rakyat. Dengan sebab itu, kita dengan lantang dan tegas menyatakan pendakwaan terhadap Najib adalah ‘pendakwaan politik’,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here