PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan gesaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dibuat bukan kerana kes mahkamah yang dihadapinya.
Tegasnya, beliau masih percayakan sistem perundangan negara tidak memihak kepada sesiapa.
“Siapa yang mengatakan bahawa desakan PRU15 perlu disegerakan kerana saya takutkan sabitan hukuman terhadap saya? Ini adalah tidak benar sama sekali.
“Kerana apa? Kerana saya masih percaya bahawa sistem perundangan kita tidak memihak kepada sesiapa.
“Buat ahli-ahli Umno dan sekalian pemerhati ingin saya tegaskan, sesiapa yang memomokkan bahawa saya takut atau gentar akan disabitkan kesalahan, saya yakin orang itulah sebenarnya yang takut dengan hamba Allah yang bernama Ahmad Zahid bin Hamidi dan dialah yang sebenarnya tidak yakin kepada diri mereka sendiri dan takut dengan bayang-bayang mereka.
“Hakikatnya, saya membawa suara ahli-ahli Umno yang setia. Bukan suara sumbang yang ingin menguburkan Umno,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Taklimat Khas Presiden Umno di ibu negara, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata desakan supaya PRU segera diadakan bukan isu baharu dan bukan soal gila kuasa mahupun kegopohan.
Sebaliknya Umno melakukan desakan itu sebaik Pakatan Harapan (PH) tumbang ekoran percutan kuasa sesama mereka.
“Begitu juga apabila berlaku peralihan kepimpinan Perdana Menteri, kita dengan tegas menyebut, kerajaan yang dibentuk adalah bersifat sementara dan pilihan raya perlu diadakan dengan segera.
“Namun sebagaimana kita lalui, ketika itu bermulalah mainan politik kerajaan gagal 17 bulan, untuk mengelakkan diadakan pilihan raya.
“Setelah melalui siri-siri pengkhianatan kepada persefahaman yang dibentuk, kita akhirnya telah berjaya meletakkan, Naib Presiden parti kita menerajui kerajaan,” katanya lagi.
Walau bagaimana pun Umno tetap tegas dengan pendirian bahawa pilihan raya perlu diadakan segera. – Malaysiapost

