Dokumen kes Rosmah tular: Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah buat laporan polis

0
2
Tinjauan Malaysiapost

PEJABAT Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan satu laporan polis sudah dibuat terhadap portal Malaysia Today berhubung laporan berita membabitkan keputusan penghakiman berkaitan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan hari ini, berkata ia membabitkan siaran berita bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022’ dan ‘Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here’ yang disiarkan semalam.

“Perbuatan ini merupakan suatu tindakan sengaja untuk menjejaskan integriti pengoperasian Mahkamah dan pentadbiran keadilan.

“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat berkenaan laporan-laporan portal tersebut,” menurut kenyataan itu.

Pejabat itu turut menegaskan bahawa Badan Kehakiman tidak akan diganggu gugat oleh perbuatan yang menyalahi undang-undang dan tidak bertanggungjawab bagi menjejaskan integriti sistem kehakiman negara.

Terdahulu, difahamkan dokumen terdiri daripada tiga muka surat kertas keputusan kes berkenaan tersebar dalam sebuah laman web semalam, yang sepatutnya akan diputuskan di Mahkamah Tinggi pada 1 September ini.

Ini adalah kejadian kedua dalam minggu ini selepas polis mengesahkan menerima laporan mengenai dokumen tular yang didakwa kertas keputusan penghakiman berkaitan kes rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here