PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli serta pemimpin Umno supaya tidak memberi ruang walaupun seinci kepada pembangkang dan sekutu mereka untuk memporak-perandakan parti itu.
Beliau berkata, Umno tidak akan mengikut rentak pembangkang yang mahu melengahkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) supaya mereka dapat menyusun strategi, mempelbagaikan propaganda serta menambahkan serangan politik terhadap parti itu.
“Kita dalam arus politik perdana sangat faham akan gelagat mereka. Inilah asam garam politik perlu diharungi.
“Yang penting rapatkan barisan, tingkatkan kesetiaan kepada keputusan parti dan jangan biarkan kita dimanipulasi oleh musuh politik kita,” katanya emnerusi Facebook.
Ahmad Zahid berkata, Umno bukanlah parti nyamuk yang baru ditubuhkan kerana usia parti itu kini mencecah 76 tahun.
“Yang penting Umno sentiasa bergerak ke depan, menyantuni rakyat dengan dasar realistik dan tidak menjanjikan bulan bintang seperti manifesto Pakatan Hatapan (PH) yang lalu.
“Kekuatan Umno terletak kepada ketulusan perjuangan akar umbi Umno yang selama ini sentiasa teguh setia dan tidak berkhianat,” katanya.
Beliau berkata, dalam menelusuri sejarah panjang, ramai juga yang meninggalkan Umno dengan keluar parti termasuk ada yang memilih menentang Umno selepas itu.
“Namun Umno tetap teguh walaupun badai politik bergelora. Mereka yang memilih keluar parti dan menentang politik, hayat politik mereka sangat pendek.
“Mereka umpama percikan bunga api, namun hanya seketika sahaja. Mereka akhirnya menjadi ahli politik kecewa dan berdengus penuh emosi.
“Patah tumbuh hilang berganti. Sekali air bah sekali pantai berubah. Umno sentiasa diuji zaman-berzaman,” katanya. – Malaysiapost

