Kes 1MDB: Arul Kanda tidak tahu pembabitan Hakim Mohd Nazlan

0
1

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy mendakwa tidak mengetahui secara langsung pembabitan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam pinjaman RM4.1 bilion oleh Maybank kepada syarikat pelaburan strategi negara itu.

Beliau memaklumkan perkara itu ketika diperiksa semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam perbicaraan kes pindaan laporan akhir pengauditan 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd Nazlan ialah Hakim Mahkamah Tinggi yang mendapati Datuk Seri Najib Razak bersalah terhadap tujuh tuduhan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dan memerintahkan bekas perdana menteri itu dipenjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Arul Kanda yang juga saksi pendakwaan ke-15 itu berkata, beliau hanya berurusan dengan peguam bank, Dalvin Kaur yang hanya dikenali sebagai Molly.

Manakala, katanya, urusan pinjaman pula beliau berhubung dengan Michael Oh-Lau dari Bahagian Pinjaman Komersial bank itu.

Terdahulu, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika sesi soal balas bertanya Arul Kanda mengenai pembabitan Mohd Nazlan dalam pembiayaan berkenaan.

Arul Kanda berkata, beliau mengetahui bahawa Kaunsel Maybank Group ketika itu adalah Mohd Nazlan, namun tidak pernah berhubung atau bertemu lelaki terbabit.

Pasukan pendakwaan dikendalikan Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Mohamad Mustafa P Kunyalam.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Prosiding perbicaraan kes itu bersambung pada 2 September ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here