VETERAN DAP, Lim Kit Siang mendakwa hukuman penjara terhadap Datuk Seri Najib Razak ‘menghadirkan’ cahaya di hujung terowong supaya Malaysia tidak menjadi sebuah negara gagal seperti Sri Lanka.
Kit Siang berkata, kini terdapat harapan untuk menetapkan semula hala tuju Malaysia sekali gus memperbetulkan semula kesilapan dalam setengah abad usaha membina negara sebelum ini.
“Di mana kita telah terpesong dari prinsip asas yang dipersetujui tokoh penubuhan negara seperti di dalam Perlembagaan dan Rukun Negara
“Prinsip pembinaan negara yang telah diterapkan dalam Perlembagaan dan Rukun Negara ini adalah formula untuk kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, manakala sebarang pemesongan dari prinsip tersebut hanya akan membawa kepada kegagalan Malaysia sebagai sebuah kleptokrasi, kakistokrasi dan negara gagal.
“Tidak ada sesiapa pun yang pasti sama ada Najib akan ke penjara kerana peranannya dalam skandal mega 1MDB.
“… yang telah memburukkan nama negara di seluruh dunia sebagai sebuah negara kleptokratik – kerana hakisan prinsip-prinsip pembinaan negara bangsa ini telah merebak luas dan berakar dalam sistem negara,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu membuatkan ramai rakyat Malaysia tertanya, sama ada prinsip-prinsip asas seperti kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman dan tadbir urus baik dalam memerangi rasuah masih wujud di Malaysia.
“(Namun apabila) Najib ke penjara menunjukkan yang prinsip-prinsip ini masih belum terhakis sepenuhnya, institusi-institusi negara masih boleh diselamatkan, dan masih ada harapan untuk masa hadapan untuk semua rakyat Malaysia.
“Malaysia percaya dengan doktrin pemisahan kuasa di antara pihak eksekutif, legislatif, dan kehakiman,” katanya.
Menurut, Kit Siang, dalam setengah abad yang lalu, terdapat sebuah cabang Eksekutif yang amat berkuasa yang telah melemahkan kedua-dua cabang legislatif dan kehakiman.
Katanya, ia sekali gus membawa kepada penutupan banyak skandal dan salah guna kuasa serta menyebabkan negara terus ketinggalan.
“Parlimen ke-13 misalnya, telah digunakan untuk menutup skandal 1MDB dan sekiranya bukan kerana keajaiban politik pada 9 Mei 2018 dalam Pilihan Raya Umum ke-14, yang menumbangkan hegemoni politik Umno-BN Malaysia masih tidak akan mengakui mengenai kewujudan skandal 1MDB dan kleptokrasi di Malaysia.
“Namun, dengan keputusan Mahkamah Persekutuan Selasa lalu, awam gelap kekecewaan dan perasaan putus asa ini mula berkurangan dan cahaya di penghujung terowong semakin dapat dilihat,” katanya. – Malaysiapost

