MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengkagumi kebijaksanaan seorang murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Pos Legap, Sg Siput, Perak memberi penerangan terhadap sistem Aquaponik.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Radzi berkata, murid yang dikenali sebagai Azaim itu mampu menerangkan kepadanya berhubung fungsi sistem aquaponik yang dengan baik sekali.
Katanya, murid itu membina sebuah sistem Aquaponik di sekolahnya dengan menggunakan air paku karat sebagai sumber nutrien kepada tumbuh-tumbuhan.
“Ketika melawat reruai semalam, saya bertemu dengan adik Azaim dari SK Pos Legap, Sg Siput. Azaim telah membina sebuah sistem Aquaponik yang menggunakan air paku karat sebagai sumber nutrien kepada tumbuh-tumbuhan.
“Adik Azaim telah menerangkannya satu persatu dengan baik sekali. Bila saya tanya kepada beliau, ‘Adik hafal ke adik memang faham sistem aquaponik adik ini?’ Beliau menjawab, ‘Saya faham pak cik’,” katanya menerusi hantaran terbabit.
Radzi berkata, beliau mendoakan murid berkenaan berjaya dalam misi eksplorasi Aquaponik yang sedang dilaksanakannya.
“Adik Azaim ini hanya berada di Darjah 4 dan mampu menerangkan sistem aquaponik ini dengan baik sekali.
“Pak cik ucapkan selamat maju jaya kepada adik Azaim! Semoga berjaya dalam pelajaran dan juga sukses dalam misi eksplorasi Aquaponik adik,” katanya. – Malaysiapost

