Wira Putra gesa Abd Latiff letak jawatan

0
1

DATUK Dr Abd Latiff Ahmad digesa untuk meletakkan jawatan serta-merta atau dilucut jawatan oleh Perdana Menteri dari Kabinet kerana disifat memberi liabiliti kepada kerajaan.

Ketua Pergerakan Wira Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu sewajarnya bertindak demikian susulan kes kapal tempur pesisir (LCS).

“Isu skandal terbaru projek pembinaan kapal tempur (LCS) yang melibatkan kerugian duit negara melebihi RM6 bilion ini bukan perkara main-main.

“Dakwaan Rafizi Ramli dalam kenyataannya berdasarkan Laporan Audit Forensik berkaitan projek LCS yang dalam simpanan Bousted Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) telah mendedahkan nama yang kemungkinan besar merujuk Abd Latiff iaitu Bekas Timbalan Menteri Pertahanan dan dikaitkan dengan nama Zainab Mohd Salleh secara jelas.

“Jadi, sewajarnya beliau meletakkan jawatan serta merta secara terhormat dan barulah benarkan sebarang siasatan dilakukan secara adil dan terbuka, jika siasatan itu tidak menunjukkan sebarang perkaitan antara beliau, Perdana Menteri boleh mempertimbangkan kembali jawatan tersebut kepada beliau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Nasrul Ali berkata, pihaknya menggesa agar Abd Latiff segera meletakkan jawatan ataupun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyarankan perkara berkenaan.

“Perdana Menteri sepatutnya pada masa ini memberi kata putus kepada Dr Abdul Latif supaya meletakkan jawatan sementara kes ini disiasat.

“Perdana Menteri harus jadi berani dalam membuat keputusan yang akan merugikan nama baiknya dan elakkan dari menyimpan liabiliti dalam kepimpinan kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here