Kes Najib hanya permulaan bersihkan negara dari rasuah

0
1

Raja Kamarul Baharin Shah

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan yang bersejarah mengekalkan sabitan bersalah kepada bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak membuka suatu era baru dalam sejarah Malaysia di mana tiada pihak walau betapa berpengaruh dirinya, dikecualikan dari tindakan undang-undang.

Malaysia terlalu lama terkenal sebagai negara banyak terdapat penjenayah golongan VIP pihak berkuasa tanpa dihukum dan era ini mesti berakhir.

Suatu ‘political will’ – azam politik, mesti hadir untuk meneruskan usaha mulia ini, dengan hasrat untuk membina semula Malaysia dari keruntuhan integriti serta amanah, yang telah memusnahkan imej negara begitu lama.

Kes DS Najib Razak bukan sepatutnya dijadikan contoh semata-mata, tetapi mesti dijadikan permulaan era baru dengan usaha berterusan memulihkan semula negara menjadi sebuah negara bermaruah dan berdaulat.

Jika tidak keputusan bersejarah memenjarakan seorang bekas Perdana Menteri negara menjadi sia-sia sahaja.

Datuk Seri Najib berhadapan empat lagi kes mahkamah berkait dengan 1MDB dan bekas Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) pula berhadapan dengan puluhan kes mahkamah.

Isu ‘baru’ yang hangat diperkatakan sekarang adalah skandal kapal tempur pesisir (LCS) di bawah Kementerian Pertahanan melibatkan kos RM9 billion.

Menteri Pertahanan telah menyatakan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja – RCI, akan dibentang pada Mesyuarat Kabinet lepas tetapi tiada apa apa perkembangan dilaporkan selepas itu.

Belum selesai isu siasatan kes LCS, timbul pula isu terkini pembelian Meriam Howitzer, berharga hampir RM1 billion, yang dikatakan akan dibuat secara rundingan terus dan bukan secara tawaran terhad dengan spesifikasi tertentu seperti diminta pihak Kementerian Pertahanan Malaysia.

Isu pembelian Meriam Howitzer pada awal tahun 2022 ini sekali lagi mirip skandal LCS yang telah berlaku beberapa tahun dahulu yang tidak mematuhi keperluan serta kehendak, sekali lagi, Kementerian Pertahanan.

Apa gunanya kerajaan kononnya telah cadangkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja yang kini senyap sepi perkembangannya? Apa guna jalankan Siasatan DiRaja kes LCS yang lepas jika isu masalah penyelewengan terkini sama diulangi dalam kes pembelian Meriam Howitzer dengan kos hampir berbillion ringgit juga.

Sekali lagi Kementerian Pertahanan yang mempunyai kontrak berbillion ringgit menjadi sasaran popular pihak yang rakus.

Jika diperhatikan mereka yang menjadi Menteri Pertahanan beberapa tahun lepas sejak isu kontroversi kapal selam Scorpene lagi semasa kerajaan BN, berlegar di kalangan dua tiga orang yang sama pimpinan teratas Umno.

Jangan jadikan kes penghukuman Najib hanya sebagai contoh tunggal semata mata tanpa meneruskan usaha murni membersihkan negara dari segala rasuah dan penyelewengan.

Kes Najib adalah hanya permulaan perjalanan jauh kita membersihkan negara dari segala pembaziran dan pencurian kekayaan negara.

Momentum ini mesti diteruskan oleh gerakan rakyat dan rasuah dibasmikan sehingga ke peringkat akar umbi. Kita telah bermula di peringkat tertinggi yang paling sukar dan ia perlu diteruskan di setiap lapisan.

Pihak kehakiman kita telah melaksanakan tugas amat mulia dan berani dan janganlan kita sia-siakan usaha permulaan bersejarah ini.

Rakyat pada tahun 2018 pernah menjatuhkan kerajaan korup yang memerintah selama 60 tahun, dan kini pula seorang bekas ketua kerajaan telah dihukum oleh Ketua Hakim dan sistem kehakiman kita.

Tiada siapa yang kebal di mata tuhan dan di sisi undang undang dunia ini. Tiada apa yang mustahil jika kita benar benar cintakan negara kita dan berusaha ke arah membersihkan negara Malaysia kita supaya di kembalikan integriti dan jadikan Malaysia sebuah negara dan rakyat yang bermaruah.

Penulis ialah Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu dan Pengerusi Amanah Terengganu
(Artikel ini dipetik sepenuhnya dari hantaran di Facebook beliau, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here