POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas sejumlah 841.06 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM 30.8 juta dalam dua serbuan di Bentong, Pahang pada 20 Ogos lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam serbuan antara jam 9 hingga 11 malam yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) itu turut menahan tiga lelaki berumur lingkungan 61 hingga 63 tahun, yang dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah bagi pasaran antarabangsa dan tempatan.
“Hasil serbuan yang dilancarkan, PDRM telah berjaya merampas sejumlah 841.06 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM 30.8 juta.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 4,205,000 orang penagih dadah.
“Selain itu, turut dirampas dalam serbuan ini, satu pucuk pistol jenis Glock, satu laras senjat api tiruan; empat kelopak peluru; 50 butir peluru hidup; 17 butir peluru dan 12 Bore termasuk dua batang besi barrel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramli berkata, sindiket ini dipercayai mula aktif sejak awal tahun 2022 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
” Semua suspek direman selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 Ogos 2022 bagi membantu siasatan dan saringan awal polis terhadap kesemua Suspek mendapati
negatif dadah,” katanya.
Beliau berkata, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutkan Harta) 1988, di mana JSJN setakat ini telah menyita aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM13,187.65.
“Ia termasuk sebuah kereta Nissan Sunny BERNILAI RM 5000, wang tunai RM 1564 dan
akaun bank RM 6623.65.
“Operasi ini telah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dan sindiket pengedaran dadah untuk pasaran tempatan.
“JSJN akan meneruskan siasatan untuk mengesan saki baki ahli sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya. – Malaysiapost

