MAYAT seorang lelaki tanpa identiti dipercayai dibunuh ditemui di tempat letak kereta bersebelahan bangunan TKS Business Centre, Jalan Segambut, Kuala Lumpur, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata mayat itu ditemui orang awam sebelum dilaporkan kepada polis jam 10.17 pagi.
Katanya, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di atas batu penutup longkang berhampiran tapak projek JKG Land dengan berpakaian lengkap.
“Identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti memandangkan tiada dokumen pengenalan diri dijumpai di badan mayat terbabit.
“Kita percaya mangsa adalah warga tempatan berdasarkan kesan suntikan imunisasi BCG yang terdapat pada bahunya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Eng Lai berkata, pemeriksaan lanjut menemui beberapa kesan cedera yang tidak jelas pada bahagian dahi dan dada mangsa.
“Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang menjalankan siasatan di lokasi tidak menemui sebarang senjata atau barang kes yang boleh dikaitkan dengan kes ini.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan oleh hentakan objek tumpul di kepala.
“Pegawai perubatan turut memaklumkan terdapat beberapa kesan lebam pada tangan kiri, tangan kanan dan badan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu diminta tampil memberikan keterangan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul di talian 03-40482206 bagi membantu siasatan,” katanya. – Malaysiapost

