Pembangkang jangan seronok sangat –   Mohd Khairuddin

0
1

PEMIMPIN pembangkang yang mula berseronok dengan pelbagai kenyataan susulan apa dilalui bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dingatkan bahawa beberapa pemimpin mereka juga kini sedang berhadapan dengan kes di mahkamah.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata Muslim dan manusia berakhlak dididik untuk tidak bergembira atas musibah seseorang kerana diri sendiri pun tidak bebas daripada ujian musibah seumpamanya.

“Sebagai ahli politik, inilah masanya ramai musuh-musuh politik beliau (Najib) bertepuk tangan bergembira atas hukuman. Saya melihat ada kalangan pimpinan parti pembangkang yang telah mula berseronok dengan pelbagai kenyataan.

“Tetapi jangan lupa, beberapa pimpinan pembangkang juga sedang berhadapan dengan kes di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu berkata, jasa Najib sebagai Perdana Menteri tetap tidak dilupakan kerana Islam mengajar tidak melupakan jasa manusia dan beliau mempunyai jasa tersendiri kepada negara serta rakyat dalam tempoh puluhan tahun.

“Kita menghormati keputusan Mahkamah dalam kes Najib.

“Dalam masa yang sama perlu juga dihormati hak Najib untuk melakukan apa sahaja tindakan mengikut lunas undang-undang yang wajar bagi mempertahankan diri dan maruah beliau termasuk antaranya ruang pengampunan Diraja,” katanya.

Sementara itu, seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Dr Mohd  Zuhdi Marzuki, menyatakan belum yakin sepenuhnya yang bekas Perdana Menteri itu bersalah seperti didakwa.

Menurutnya, ia terutama dengan keberanian Najib melakukan sumpah mubahalah sedangkan ia bukan sebahagian daripada proses perundangan.

Katanya, Najib juga memainkan peranan besar dalam membuka jalan perdamaian antara Pas dan Umno yang  bermusuhan begitu lama, sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat agar tidak melupakan jasa bekas perdana menteri itu khususnya inisiatif transformasi yang diambil terhadap dasar dan amalan rosak oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya yakin sekiranya transformasi ini tidak berlaku, negara kurang berupaya untuk menghadapi wabak pandemik Covid-19 baru-baru ini dan pulih dengan begitu pantas.

“Justeru, apa jua pun keputusan yang dijatuhkan mahkamah, masyarakat Malaysia terutama umat Islam perlu terus bersatu-padu untuk membangunkan negara dan mempertahankan keharmonian,” katanya dalam kenyataan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here