Jasa Najib tidak akan terpadam – Ahmad Zahid

0
1

JASA besar Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri keenam Malaysia tidak sama sekali dapat dipadamkan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam, tegas Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, Najib telah membawa Malaysia ke mercu kejayaan dan meletakkan negara di persada sebelum disuramkan oleh kegagalan dua kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Walau jasad dipenjara, semangat dan daya juang mantan Presiden Umno itu dalam usaha mempertahankan dirinya serta tampil berada di barisan hadapan untuk melonjakkan semula citra Umno sehingga mampu bangkit semula selepas kekalahan PRU-14, akan tetap membara.

“Umno akan terus bersama Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam menghadapi perbicaraan kes lain yang sedang dihadapinya bagi menjamin beliau mendapat keadilan dan tidak dimangsakan dengan tekanan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, keluarga besar Umno melahirkan rasa dukacita atas pengakhiran keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan serta hukuman terhadap perbicaraan Najib.

Ujarnya, Umno terkilan kerana proses dan ruang untuk bekas Perdana Menteri itu mempertahankan diri terutama usaha untuk mengemukakan bukti-bukti baharu dan penangguhan bagi membolehkan pasukan pembelanya yang baharu membuat persiapan telah dinafikan.

Dalam masa sama, beliau berkata kepada seluruh ahli Umno perlu bertenang dan tanamkan tekad, segala kepincangan dalam sistem untuk menjamin keadilan, akan menjadi salah satu agenda untuk diperbetulkan.

“Ini termasuklah pendedahan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas mengenai campur tangan politik Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) terdahulu dalam pelantikan Hakim dan perjalanan sistem perundangan negara,” katanya.

Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib.

Keputusan itu sekaligus menjadikan Najib sebagai bekas Perdana Menteri pertama di Malaysia yang dipenjarakan selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here