Pampasan RM300,000 tidak setimpal – Khairuddin

0
1

DATUK Seri Khairuddin Abu Hassan, bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini yang mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 kepadanya.

Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan itu, berkata mahkamah memutuskan penahanannya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada 2015 adalah tidak sah.

Menurutnya, kebenaran telah timbul untuk membuktikan perjuangannya membuat laporan-laporan kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Singapura, Hong Kong, Perancis, Switzerland, United Kingdom dan Amerika Syarikat terbukti mempunyai asas kebenarannya.

“Setelah saya buat laporan-laporan di enam negara tersebut bila pulang ke tanahair; saya telah ditangkap oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan terus didakwa di bawah Akta SOSMA pada waktu itu.

“Saya ditangkap kerana didakwa cuba mensabotaj sistem perbankan dan ekonomi negara kononnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini mengarahkan ganti rugi RM300,000 dibayar kepada Khairuddin susulan penahanan tidak sah mengikut Akta SOSMA pada 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi, Quay Chew Soon, membuat keputusan itu selepas mendapati Khairuddin berjaya membuktikan penahanannya di Penjara Sungai Buloh selama 60 hari itu dibuat menyalahi undang-undang.

Menurut Khairuddin, sistem perundangan negara menunjukkan kebenarannya dengan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat penghakiman yang memihak kepadanya.

“Walaubagaimanapun, saya telah mengarahkan peguam untuk memfailkan rayuan ke atas keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tadi kerana kurang puas hati dengan jumlah ganti rugi yang ditetapkan.

“Tahanan tidak sah saya adalah selama dua minggu dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan dua bulan dimasukkan ke dalam Penjara Sungai Buloh.

“Atas dasar prinsip, apapun saya bersyukur dengan keputusan mahkamah, namun jumlah pampasan agak tidak setimpal dengan penganiayaan yang saya terima pada waktu itu,” katanya.

Sementara itu, beliau turut bersyukur dengan Mahkamah Persekutuan yang telah menunjukkan kebenaran dengan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.

“Pengkhianatan Najib kepada bangsa dan negara tidak boleh dimaafkan sama sekali. Tetapi setiap penganiayaan yang Najib lakukan kepada saya dari tahun 2014 sehingga 2018, saya ampunkan kesilapan beliau dunia dan akhirat.

“Semoga Najib tabah serta tenang menghadapi penghidupan baru di Penjara Kajang dan iringan doa agar keseluruhan ahli keluarga beliau juga tabah menghadapi ujian ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here