PRESIDEN Parti Amanah, Mohamad Sabu mengingatkan semua pihak agar tidak seharusnya berasa gembira apabila sesuatu musibah menimpa ke atas seseorang.
Sebaliknya beliau berkata, semua pihak hendaklah menjadikan ia sebagai suatu panduan dan pedoman, supaya mereka yang masih berada di luar dan bebas ini, tidak mengulangi kesilapan.
“Sama ada jenayah dalam bentuk peribadi atau jenayah yang melibatkan negara.
“Oleh itu, rakyat Malaysia hendaklah berazam terus untuk membina negara lebih baik dan membanteras rasuah secara berterusan, agar Malaysia menjadi negara yang makmur, aman dan berintegriti, sekarang dan pada masa yang akan datang.
“Jadikan segala bentuk musibah yang menimpa kepada orang lain sebagai suatu pengajaran kepada kita semua,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Mohamad yang juga pemimpin Pakatan Harapan (PH) dipercayai merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Keputusan itu sekali gus menjadikan Najib bekas Perdana Menteri pertama di Malaysia dipenjarakan selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. – Malaysiapost

