
SEORANG pemimpin veteran Umno menyarankan agar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad meletak jawatan atau bercuti sementara waktu.
Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu wajar berbuat demikian sehingga siasatan kes kapal tempur pesisir (LCS) selesai.
Katanya, kerajaan kini mahu menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), dan meskipun kenyataannya menafikan dakwaan berkenaan, namun audit menyatakan sebaliknya maka menteri tersebut perlu mempunyai rasa tanggungjawab bagi mempertimbangkan langkah terbaik untuk dirinya.
“Hari tu hal NADMA. Hari ini, hal LCS pula. Kahwin atau tak kahwin ke, dah cerai ke, tapi audit dah sebut nama.
“Kerajaan nak tubuh RCI. Langkah terbaik, menteri ni patut letak jawatan atau ambil cuti sehingga selesai RCI. Kan dah menteri, sifat bertanggungjawab itu harus lagi tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Isnin lalu, Abd Latiff Ahmad menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan projek LCS, adalah isterinya.
Abd Latiff berkata, beliau juga bersedia memberikan kerjasama penuh dengan siasatan pihak berkuasa terhadap isu itu.
Sebelum itu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, mendakwa syarikat yang menjadi pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga bekas Abd Latiff yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan.
Rafizi mendakwa, siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan dilakukannya mendapati syarikat pembekal itu dimiliki isteri Dr Abd Latiff bernama Zainab Mohd Salleh. – Malaysiapost
