VOKALIS Search, Suhaimi A Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy Search kini bergelar Datuk.
Beliau dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2022 sempena Sambutan Hari Jadi Ke-73 Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat di Melaka hari ini.
Penyanyi rock berusia 64 tahun itu antara 163 individu dianugerahkan D.P.S.M.
D.P.S.M dianugerahkan kepada orang perseorangan yang telah memberi perkhidmatan terpuji kepada Melaka dan negara.
Amy adalah satu-satunya penggiat seni menerima pingat tersebut sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri ke-73.
Sementara itu portal Gempak melaporkan, Amy Mengucapkan setinggi penghargaan kepada Mohd Ali serta terima kasih kepada Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Seri Rauf Yusoh.
Menurutnya, dia bersyukur atas kurniaan yang diterimanya selepas 42 tahun menjadi anak seni.
“Pemberian pingat yang membawa gelaran Datuk ini tidak akan mengubah Amy Search yang semua kenali selama ini. Saya tetap Amy Search, penyanyi dan pemain industri muzik yang dikenali,” katanya. – Malaysiapost

