Kerusi Parlimen Pekan akan kosong 14 hari lagi

0
1

KERUSI Parlimen Pekan akan kosong secara automatik selepas 14 hari, bermula hari ini jika tiada sebarang prosedur mahkamah lain atau pengampunan diraja diterima oleh penyandangnya Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh berkenaan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun, berkata ia selaras Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan seseorang individu hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika disabit kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 ribu ringgit serta dia tidak mendapat pengampunan bebas.

Beliau berkata, ketika ini Parlimen perlu menunggu notis rasmi daripada Mahkamah Persekutuan yang memaklumkan mengenai hukuman yang dijatuhkan kepada bekas Perdana Menteri itu.

“Sekarang sudah tiada lagi rayuan kerana hukuman diputuskan di Mahkamah Persekutuan, namun Perkara 48(4)(b) juga ada menyebut jika ada apa-apa prosiding mahkamah lain, maka kedudukan Najib kekal sehingga prosiding itu selesai.

“Saya perlu meneliti dahulu sama ada prosiding itu termasuk semakan, kerana proses semakan ini ada dalam tatacara mahkamah.

“Jika termasuk dan Najib memfailkan semakan itu dalam 14 hari, maka kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Pekan kekal sehingga prosiding semakan tamat.

“Pada masa sama, Perkara 48 juga peruntukan jika dalam 14 hari terdapat permohonan untuk pengampunan diraja, maka kedudukannya kekal sehingga proses pengampunan selesai,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Azhar berkata, Parlimen dijangka akan menerima notis daripada Mahkamah Persekutuan mengenai hukuman terhadap Najib itu dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, beliau akan membuat pemakluman mengenai kekosongan kerusi Parlimen Pekan jika Najib tidak memfailkan semakan, prosiding lain atau permohonan pengampunan dalam tempoh 14 hari.

“Saya kena tunggu 14 hari, bermula hari ini. Jika semua yang diperuntukkan dalam Perlembagaan tidak dilaksanakan dalam tempoh itu, barulah saya akan membuat keputusan (mengenai pengosongan kerusi Parlimen Pekan),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here