KEADAAN premis makanan yang jijik kerana terdapat lipas dan najis tikus antara faktor beberapa premis sekitar ibu kota dikompaun oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL melaksanakan pemeriksaan terhadap premis-premis makanan di sekitar Parlimen Bukit Bintang, Titiwangsa, Lembah Pantai, Cheras, Kepong dan Batu, 18 Ogos lalu.
Sebanyak 23 notis kompaun dikeluarkan dalam pemeriksaan yang disertai 28 anggota Penguatkuasa Kesihatan.
“Di sekitar Jalan Raja Muda Musa (Pintu Gerbang) dan Jalan Raja Abdullah Kg. Baru (Parlimen Titiwangsa) sejumlah 21 premis telah dilawati dan satu premis dikenakan tindakan penutupan.
“Sejumlah 23 notis kompaun atas kesalahan di bawah pelbagai Undang-Undang Kecil dan Akta Kerajaan Tempatan telah dikeluarkan. Manakala penutupan premis dilaksanakan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 bermula 19 Ogos 2022,” kata DBKL menerusi hantaran di Facebook.
Sementara itu, pemeriksaan dan notis dikeluarkan atas kesalahan pengendali makanan gagal mendapatkan suntikan Typhoid /Kursus asas penyediaan makanan; menjalankan perniagaan tanpa lesen daripada Datuk Bandar; dan perangkap minyak tidak dipasang/ diselenggara.
Turut diperiksa lantai dapur / ruang makan kotor, berdaki hitam dan terdapat sisa makanan; peti ais kotor dan berdaki hitam; stor penyimpanan makanan kotor dan berdaki hitam; dan air buangan daripada perangkap minyak disalurkan terus ke longkang awam.
“Pemeriksaan dan lawatan mengejut ini dilaksanakan oleh DBKL dari semasa kesemasa secara berterusan untuk memastikan pengendali premis makanan mematuhi peraturan penyediaan makanan,” katanya. – Malaysiapost

