Lagi individu rosakkan Jalur Gemilang ditahan

0
1

SEORANG lagi lelaki yang dipercayai melakukan vandalisme dengan merosakkan Jalur Gemilang yang dipasang pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di ibu negara sempena bulan kemerdekaan berjaya ditahan, semalam.

Individu berkenaan ditangkap oleh Jabatan Penguatkuasaan DBKL, kerana dipercayai merosakkan Jalur Gemilang di sebuah jejambat di kawasan Brickfields.

“Jabatan Penguatkuasaan sekali lagi membuat penahanan individu yang didapati merosakkan Jalur Gemilang yang dipasang oleh DBKL. Kali ini lokasinya di Brickfields.

“Suspek telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” menurut pihak DBKL dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.

Pihak DBKL turut memuat naik gambar tangkapan individu berkenaan serta Jalur Gemilang yang dirosakkan.

Terdahulu pada 18 Ogos lalu seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan kerana merosakkan Jalur Gemilang di sekitar bangunan MITEC di Jalan Ampang.

Perbuatan lelaki terbabit yang menggunting bendera kebangsaan berjaya dirakam orang awam sebelum rakaman video itu tular di media sosial sejak semalam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here