PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut sama lebih 7,000 jemaah mengimarahkan Munajat Keluarga Malaysia sempena ‘Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia- Teguh Bersama’ yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya, malam tadi.
Beliau bersyukur dan berdoa agar Allah SWT memberkati Malaysia serta melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada penduduk di negara ini.
“Alhamdulillah, saya dapat bersama-sama lebih 7,000 jemaah mengimarahkan Munajat Keluarga Malaysia malam tadi.
“Terima kasih Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) atas anjuran, dan Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid atas pimpinan munajat yang menyentuh hati.
“Segala puji syukur saya panjatkan kepada Allah SWT. Ya Allah, Engkau berkatilah tanah air ini dan limpahkanlah rahmat dan keselamatan ke atas kami, penghuni-penghuni negara ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Sementara itu, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, program berkenaan bermula dari jam 2.30 petang hingga 10 malam tadi diisi dengan pelbagai aktiviti.
Antara aktiviti yang diadakan adalah Souq@Keluarga Malaysia, Jualan Rakyat Keluarga Malaysia, Konvoi Kongsi Rezeki, Solat Hajat, Zikir, Selawat, Tausiah dan Doa Keluarga Malaysia serta sumbangan kepada 20 buah pusat tahfiz, pondok, institusi kebajikan dan rumah anak-anak yatim.
“Solat Hajat, Zikir, Selawat, Tausiah dan Doa Keluarga Malaysia yang diadakan pada sebelah malamnya turut dihadiri oleh Perdana Menteri.
“Pada sesi ini, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada 20 pusat tahfiz, pondok, institusi kebajikan dan rumah anak-anak yatim,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPM, selain Putrajaya selaku lokasi induk program, Munajat Keluarga Malaysia turut dilaksanakan secara serentak di Kedah, Pahang, Sabah, Sarawak dan Johor bagi memberi peluang seluruh Keluarga Malaysia menyertainya.
Program anjuran bersama kesemua Kementerian, Jabatan dan agensi kerajaan itu turut dihadiri oleh barisan Jemaah Menteri; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua-ketua Jabatan Kerajaan serta penjawat awam. – Malaysiapost

