KARTUNIS terkenal tanah air, Mishar atau nama sebenar Mior Shariman Mior Hadan, meninggal dunia pada usia 75 tahun akibat Covid-19 malam tadi.
Berita itu dikongsi di hantaran Facebook Rumah Kartun dan Komik Malaysia (MCCH).
Mishar merupakan salah seorang pengasas kepada majalah Gila-Gila yang terkenal sekitar tahun 1980-an.
MCCH dalam hantaran itu berkata, keadaan beliau sebelum ini juga dilaporkan agak kurang baik kerana diserang penyakit angin ahmar.
“Jasa dan peranan Allahyarham dalam memartabatkan dunia kartun dan komik negara adalah terlalu besar dan seluruh warga kartunis negara amat berasa kehilangan beliau.
“Semoga rohnya dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang soleh,” katanya.
Sentuhan emas beliau telah mengevolusikan industri kartun dan komik negara selama tiga dekad sehingga dikurniakan Anugerah Tokoh Penggiat Kartun 2012 oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu. – Malaysiapost

