TINDAKAN DATUK Seri Najib Razak melafaz sumpah laknat ketika prosiding Mahkamah Persekutuan masih lagi berjalan disifatkan mempermainkan sentimen agama.
Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, tindakan bekas Perdana Menteri itu amat dikesali kerana boleh mengelirukan orang ramai terhadap Islam.
“Tindakan Datuk Seri Najib Razak membuat sumpah laknat di Masjid Kampung Baru semalam amat dikesali.
“Ia adalah usaha untuk mempermainkan sentimen agama di kalangan penyokongnya sahaja ketika Mahkamah Persekutuan sedang bersidang bagi membicarakan beliau.
“Bagi saya, tidak ada sumpah mubahalah dalam kes jenayah kecuali untuk kes li’an sahaja. Mufti dan Menteri Agama yang ada perlu memberikan teguran dalam isu ini.
“Saya bimbang dengan pendekatan yang diambil oleh Datuk Seri Najib dan penyokongnya.
“Apakah ini wajah Melayu yang kita inginkan atau Melayu yang lebih bermaruah dan memegang nilai-nilai agama dengan sebaik-baiknya bukan Melayu yang boleh dimainkan emosinya dengan sentimen perkauman dan agama yang sempit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Mujahid yang juga bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, rakyat perlu meletak kepercayaan sepenuhnya terhadap sistem perundangan dan institusi kehakiman negara.
“Saya menyeru semua rakyat negara ini, buat masa sekarang berilah kepercayaan kepada Mahkamah Persekutuan pimpinan
Ketua Hakim Negara untuk membuat keputusan dengan adil dan berdasarkan bukti dan saksi dalam perbicaraan.
“Jika Datuk Seri Najib didapati tidak bersalah, bebaskanlah dia dan jika dia didapati bersalah hukumlah dia seadil-adilnya,” katanya.
Menjelang prosiding rayuan akhir kes dihadapinya di Mahkamah Rayuan esok,
Najib telah melafazkan sumpah muhabalah di Masjid Kampung Baru Kuala Lumpur, malam tadi.
Beliau antara lain bersumpah dirinya tidak pernah mengetahui secara khusus atau sebaliknya bahawa dana sebanyak RM42 juta berkaitan kes tersebut datang dari SRC International Sdn Bhd. (SRC) secara langsung atau tidak langsung.
Najib turut bersumpah tidak pernah menerbitkan atau bersetuju untuk mewujudkan syarikat SRC bagi tujuan merangkul dana SRC untuk tujuan kegunaan peribadi atau kegunaan keluarganya. – Malaysiapost

