Skandal LCS peluang PH ulang kejayaan PRU-14

0
1
kapal projek lcs

ISU rasuah akan kembali menjadi isu utama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang bakal menghantui Barisan Nasional (BN) seperti yang berlaku pada PRU-14.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim, berkata skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi isu utama pada PRU-14 sehingga kerajaan BN tumbang buat kali pertama dalam sejarah, kini dalam PRU-15 skandal projek enam kapal tempur pesisir (LCS) akan berlabuh mengambil tempat 1MDB.

“BN yang dihantui oleh isu skandal 1MDB hingga sekarang, sedang memikul seekor lagi biawak hidup atas nama LCS yang melibatkan kerugian kerajaan sebanyak lebih RM6 bilion.

“Sampai ke hari ini, sebiji kapal LCS pun tidak diterima oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga bekas Pengerusi PKR Johor, berkata pertuduhan di mahkamah terhadap bekas Panglima TLDM tidak boleh menutup dan menyelesaikan skandal berkenaan yang dipenuhi isu rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah.

“Seluruh Kementerian Pertahanan atau Mindef akan disiasat. Semua menteri yang pernah menjadi Menteri Pertahanan Malaysia tidak boleh lepas diri. Mereka perlu bertanggungjawab.

“Bangkai rasuah yang busuk di Mindef tidak boleh ditutup dengan kertas plastik. Rakyat mahu tahu apa sebenarnya yang telah berlaku,” katanya.

Menurutnya, isu rasuah di sebalik LCS akan menjadi liabiliti kepada BN dan kelebihan aura kemenangan besarnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor telah terhakis habis apabila timbul skandal LCS.

Beliau berkata, sama ada PRU-15 diadakan sekarang atau pada tahun hadapan, imej di minda rakyat sudah terpahat bahawa pemimpin-pemimpin politik seperti dalam kluster mahkamah ini perlu ditolak di dalam pilihan raya.

“Rakyat sebagai pengundi akan menjadi raja dan berkuasa untuk menghukum mereka dan parti mereka di peti undi seperti pernah mereka lakukan sebelum ini pada PRU-14 yang lalu,” katanya.

Menurutnya, justeru Pakatan Harapan (PH) tidak boleh mengharapkan laba politik dengan hanya berpeluk tubuh dan tidak mengambil apa-apa inisiatif positif di sebalik apa yang sedang berlaku.

“Rakyat mahu lihat apakah agenda konkrit PH yang kemas dan padu untuk mengatasi isu rasuah di Malaysia. PH kena huraikan agendanya menentang rasuah di dalam Manifesto PH untuk menghadapi PRU-15.

“Rakyat mahu tahu program PH menentang rasuah dari A sampai Z, bukan janji palsu dan retorik. Apa cadangan PH untuk tangani masalah rasuah yang memusnahkan ekonomi, sosial dan politik Malaysia. Apakah PH boleh sambut cabaran ini?” soalnya.

Beliau berkata, jIka PH mahu menang dalam PRU-15, maka matlamat menghapuskan rasuah perlu dijadikan isu utama di dalam Manifesto PRU-15 di samping mengatasi masalah ekonomi dan masalah kos sara hidup rakyat.

“PH perlu muncul dalam masa terdekat ini dengan keazaman dan kesungguhan politik untuk memerangi rasuah dan menumbangkan Umno-BN yang menjadi punca rasuah berleluasa di negara Malaysia ini sejak berdekad-dekad lamanya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here