SEORANG pemilik akaun laman Twitter diminta tampil untuk membantu berhubung dakwaannya yang mengatakan sebuah kereta peronda polis (MPV) melanggar dan merosakkan kenderaan awam ketika melalui kawasan di SS2 Petaling Jaya, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya menerima laporan polis pada jam 9.10 malam tadi berhubung kenyataan berunsur penghinaan terhadap polis di media sosial
Menurutnya, kandungan hantaran berkenaan mendakwa kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang lalu di kawasan SS2 jam 11.30 pagi semalam dipandu dalam keadaan berbahaya di laluan sempit dan ketika trafik sesak.
“Laporan polis dibuat oleh Ketua Cawangan MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling yang terbaca kenyataan itu serta beliau tidak terbabit dalam kejadian yang dimaksudkan oleh pemilik akaun media sosial Bernama ‘zulisfine’ tersebut.
“Walaubagaimanapun, pegawai terbabit mengetahui kenderaan MPV yang dimaksudkan adalah kenderaan yang terbabit dalam kejadian mengejar kes Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) bersabit laporan Sea Park,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pegawai polis berkenaan juga mengesahkan tiada sebarang kesan calar pada MPV terbabit yang juga tidak melanggar mana-mana kenderaan awam seperti yang didakwa oleh pemilik akaun Twitter berkenaan.
“Laporan polis ini dibuka kertas siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Kepada pemilik akaun Twitter ‘zulisfine’ mohon tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, semakan di akaun Twitter berkenaan mendapati selain kenyataan berunsur fitnah, individu terbabit turut melemparkan kata-kata kesat terhadap PDRM.
“Dah tau jalan kecik nak mampus, tengah jem nak ketepi macam mana lagi sial?? Habis semua kereta orang dia langgar, calar. Bodoh macam babi. Emergency atau tidak, dah situasi tak bagi, maka tak boleh lah!” tulis individu berkenaan. – Malaysiapost

