PAKAR perubatan, Dr Rafidah Abdullah sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah bank, berikutan kehilangan wang simpanannya di bank berkenaan sebanyak RM13,000, baru-baru ini.
Beliau memaklumkan perkara itu selepas ditanya seorang pengguna Twitter sama ada akan bertindak melalui undang-undang, kerana menurutnya ramai mangsa juga mengalami nasib sama dan suatu tindakan perlu diambil.
Justeru, Dr Rafidah turut menyarankan rakyat di seluruh negara yang mengalami nasib sepertinya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana bank di Malaysia yang berlakunya kes kehilangan wang pemilik akaun.
“Saya tidak akan berhenti bersuara. Berjuang untuk mereka yang tiada suara. Nampaknya Bank Negara Malaysia (BNM) tidak dapat mengawal bank,” katanya menerusi Twitter.
Dr Rafidah turut berkongsikan kronologi bagaimana kejadian kehilangan wang tersebut dan beranggapan BNM gagal dalam tanggungjawab melindungi keselamatan pelanggan.
“Bukankah itu tugas @BNM_official untuk memastikan bank-bank ini selamat, dan melindungi wang kita?
“Adakah mereka menyemak dan memastikan? Tidak kelihatan seperti itu daripada respons yang saya dapat dalam media sosial.
“Hacker dapat masuk ke sistem bank dan daftar iphone6 dia sebagai telefon tambahan untuk akaun saya. Tiada TAC request untuk ini.
“Transaksi dibuat melalui DuitNow – tiga kali sejumlah RM13,000 jam 2 hingga 3 pagi hari Jumaat tempoh hari. Lepas Itu, approve transaksi guna iphone6 tersebut. Takkan juga tak trigger kejadian ini? katanya meluahkan kekecewaan.
Susulan itu, rata-rata orang ramai memohon agar mana-mana Ahli Parlimen membawa isu berkenaan untuk dibahaskan di Parlimen supaya dapat ditangani segera.
“Tolong bawa isu ini dalam parlimen dan perkenalkan akta untuk kekang scammer. Sekarang ini, buat laporan polis pun, polis dengan bank tak nak buat apa-apa,” kata seorang pengguna.
“Isu ini perlu dibawa ke Parlimen. Ramai yang kena terutama B40. Mereka diam sebab duit yang kena ‘scam’ bawah RM5,000. mereka tiada suara nak berurusan dengan pihak berkaitan. Itu sahaja duit yang ada,” kata Iamssjvmr. – Malaysiapost

