VETERAN Umno membantah keras penganjuran konsert ‘berantai’ sepanjang bulan Ogos hingga Disember tahun ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, penglibatan 10 artis antarabangsa dalam 10 konsert yang bakal diadakan di Malaysia, hanya menggalakkan golongan muda terperangkap dalam hiburan yang melalaikan.
“Penganjuran konsert seperti ini akan menggalakkan orang muda khususnya anak muda Melayu terperangkap dengan hiburan yang melaghakan.
“Veteran juga mendapat tahu ada dikalangan artis yang dijemput itu merupakan pendokong kuat LGBT,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.
Menurutnya, sepatutnya sepanjang bulan kemerdekaan, kerajaan perlu memperbanyakkan program menyemai semangat patriotik di kalangan rakyat.
“Veteran kesal pihak kerajaan memberi kelulusan kepada penganjur konsert ini dalam keadaan negara yang memerlukan rakyatnya lebih berhemah menghadapi masalah kesukaran ekonomi.
“Sepatutnya di bulan-bulan kemerdekaan (Ogos – September) ini lebih banyak program cintakan negara diadakan untuk menyemat semangat jati diri bangsa Malaysia dan bukannya dengan hiburan yang merugikan,” katanya.
Justeru, Mustapha berkata, pihaknya mendesak kerajaan supaya mengkaji balik dan membatalkan kelulusan yang diberi kepada penganjur konsert itu.
Baru-baru ini telah berlangsung konsert penyanyi antarabangsa Billie Eilish di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Bulan depan dijangka berlangsung pula konsert band dari Indonesia, Kumpulan Dewa. – Malaysiapost

