SELEPAS tampil dalam pertemuan dengan gabungan politik Gerakan Tanah Air (GTA), penerbit dan pengarah filem terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri mengesahkan yang beliau telah keluar mengumumkan keluar Bersatu.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Ahmad Idham berkata, dia juga melepaskan jawatan sebagai Ketua Cawangan Bersatu Pinggiran Ukay, Bahagian Ampang.
Jelasnya, keputusan untuk keluar parti dibuat selepas dia mendakwa
terdapat banyak masalah dalaman Bersatu selain janji-janji yang tidak dikota sepanjang bersama parti itu.
“Sudah tiada lagi (bersama Bersatu). Masalah banyak hanky-panky, ada ‘mainan’ ketua bahagian yang tidak senang dengan saya, ada juga janji yang saya tidak dapat.
“Saya hanya ahli biasa. Pasal jawatan sebagai ketua cawangan, itu mereka (parti) yang cakap, tetapi buat tidak tahu. Dokumen pun tiada,” katanya seperti dilaporkan.
Menurut Ahmad Idham, selama ini beliau hanya berperanan sebagai ahli parti biasa dan tidak memegang jawatan ketua cawangan seperti dilaporkan.
April lalu, penerbit filem Jangan Pandang-Pandang itu dilaporkan menyertai politik dan dilantik sebagai Ketua Cawangan Bersatu Pinggiran Ukay dengan matlamat mempertingkat pembangunan dan kesedaran terhadap hab pendidikan khas untuk golongan anak istimewa.- Malaysiapost

